Monday, July 15, 2013

music

Cara Tanaman Padi



Ahli Kumpulan
Muhamad Amirul  (04DPT13F1016)
Muhammad Dienie (04DPT13F1071)



CARA MENANAM PADI

Padi merupakan satu tanaman makanan yang penting.Tanaman padi juga unik berbanding tanaman lain kerana terpaksa melalui pelbagai proses penanaman. Terdapat beberapa proses penanaman padi yang meliputi:
  • Pemilihan biji benih
  • Penyemaian biji benih
  • Pemilihan tapak perladangan
  • Pengalihan tanaman
  • Proses penyelenggaraan

Pemilihan Biji Benih
        Padi ditanam dengan menggunakan biji benih .Oleh itu pemilihan  biji benih yang bermutu tinggi adalah penting untuk memastikan hasil yang banyak apabila mencapai tahap matang kelak. Lazimnya pemilihan padi dibuat selepas menuai padi.Hanya biji padi yang bersaiz besar ,panjang dan mempunyai biji yang banyak di satu-satu tangkai sahaja dipilih.Cara ini adalah berbentuk tradisional .Lazimnya pemilihan ini dilakukan oleh mereka yang arif tentang pemilihan biji benih terutama pesawah yang berpengalaman.Bagi pesawah yang telah mendapat khidmat jabatan pertanian, bekalan biji benih yang lebih terjamin telah diperkenalkan. Pemilihan biji benih ini adalah hasil kajian yang dijalankan secara berterusan untuk menghasilkan biji benih yang baik. Oleh itu apabila padi telah  berbuah, hasil yang diperolehi amat menakjubkan dan setanding dengan  padi keluaran negara lain. 

Penyemaian Biji Benih
       Operasi menyemai dilakukan sepenuhnya dengan menggunakan tenaga manusia.Proses ini mencakupi peringkat rendaman buah padi untuk dijadikan benih hingga benih-benih tersebut ditabur di tapak semaian.Pembaharuan yang mutakhir diperkenalkan di negara ini ialah penyemaian dilakukan terus di kawasan penanaman atau disebut tabur terus. Cara ini tidak memerlukan operasi mengubah dan dengan itu masalah penggunaan tenaga kerja yang banyak tidak timbul.Bagaimanapun cara ini tidak akan berkesan jika kawalan sistem pengairan tidak dilakukan.

Pemilihan Tapak Perladangan
        Proses membajak mengikut sistem tradisional adalah menggunakan tenggala yang ditarik oleh kerbau pada musim hujan. Namun begitu cara ini dianggap tidak produktif. Oleh itu jentera pembajak atau traktor digunakan.Terdapat dua jenis traktor yang digunakan bagi kerja-kerja membajak. Traktor-traktor ini dikenali sebagi traktor dua roda dan traktor empat roda. Kedua-dua traktor ini berfungsi untuk menggemburkan tanah sawah.

Pengalihan Tanaman
        Anak benih akan diubah dari tapak semaian ke sawah ketika anak benih mengeluarkan daun kelima atau keenam. Kerja ini masih memerlukan tenaga buruh dan masa yang panjang untuk mengubah anak-anak benih ke  kawasan sawah.Jarak menanam anak benih bergantung kepada pesawah. Anak benih yang cepat matang akan ditanam lebih rapat dibandingkan dengan anak benih yang lambat tempoh matang.

Proses Penyelenggaraan


       Proses  penyelengaraan ini melibatkan  pelbagai aktiviti seperti membaja, merumput, dan membersihkan sawah.Proses ini akan dilakukan sepanjang pertumbuhan padi. Oleh itu, sejak awal penanaman, padi akan terus dijaga supaya tidak dihinggapi penyakit atau menjadi semak. Oleh itu pertumbuhan padi akan menjadi normal.Selain itu pesawah juga harus memastikan padi terjamin daripada dirosakkan haiwan perosak seperti tikus, burung atau belalang.Oleh itu terdapat beberapa orang-orang yang dicacakkan di tengah sawah untuk menakutkan binatang perosak.Proses penyelenggaraan ini memang rumit dan memerlukan kawalan setiap masa.